Sebagai Seorang Pemelihara KalamNya

Aku berjalan di dalam kepekatan malam. Sambil aku melihat langit. Langit yang kehilangan cahaya bintang. Kegusaran melanda jiwa, ketakutan mula menyiksa, andai hatiku kehilangan cahaya hidayahNya.
"Hazirah, dah sampai"
Lamunanku pecah. Terus aku keluar dari pintu kereta, dan melangkah ke destinasi kami, kenduri.
Tiba-tiba, kesunyian menyinggah suasana. Aku memecahkan kesunyian itu dengan soalan.
"Mana kendurinya,ibu?"
"Tu.."
Ibuku menunding jari ke arah bawah blok. Aku mengangguk sahaja. Lamunanku tadi masih memberi kesan di dalam jiwa.
Sedang melangkah, aku terlihat begitu ramai kaum Adam memenuhi kawasan itu.
Aku segan. Segan melihat segelintir dari mereka. Kerana segelintir dari mereka adalah pelajar tahfiz.
Di bahagian belakang, Kaum Hawa mengisi ruang. Aku terlihat mereka yang indah pakaiannya. Menutup aurat begitu sempurna. Wajah mereka disebalik tabir melindungi kecantikan mereka.
Pakaian sunnah menghiasi diri mereka. Ayat suci Kalam Ilahi memenuhi ruang hati mereka. Akhlaknya indah seperti apa yang mereka hafazkan.
Aku merasa rendah. Walau diriku juga menghafal Kalam SuciNya. Namun hati ini masih buta. Masih belum merasai keajaiban sebagai seorang penghafaz Al-Quran. Masih tiada kesedaran di dalam jiwa.
Akhlak masih terumbang-ambing
Kehidupan masih tertumpu pada duniawi
Masih leka dengan kehidupan sehari
Walau aku juga seorang pemelihara KalamNya.
Tiba-tiba,
"Ada lagi 4 tempat kosong. Perempuan boleh masuk"
Pengumuman itu membuat aku tertanya
"Masuk apa, ibu?"
"Karaoke kot"
Aku tergamam. Karaoke?
"Biasa diorang buat karaoke kalau ada kenduri, tapi ada tahfiz ni segan la sikit"
Terang pakcik yang berada berdekatan di meja makan kami.
Aku mengangguk. Tidak selayaknya para penghafaz Al-Quran mendengar alunan merdu seorang perempuan yang tiada manfaatnya. Sedang telinga mereka hanya didengari ayat suci Al-QuranNya.
Sedang kita, juga sebagai penghafaz Al-QuranNya. Tapi masih leka. Masih melebihkan lagu yang tiada manfaatnya. Masih seronok dan tenggelam dalam KPOP, lagu Melayu yang berkait dengan cinta, lagu Inggeris yang maksudnya entah kemana. Belum lagi lagu yang maksudnya lucah.
Sedang kita, seorang penghafaz Al-Quran, tapi masih membuka aurat tanpa rasa bersalah di dalam jiwa. Tudung singkat, terasa labuh. Seluar ketat, terasa longgar. Ternampak pergelangan tangan, tak endah bagai tidak mendapat dosa saat lelaki melihatnya.
Sedang kita, sebagai pemelihara Al-Quran. Tetapi tidak menjaga akhlak dan tutur kata yang indah. Mencarut, mencaci, memaki. Sedang lidah yang mencarut itulah lidah yang menyebut KalamNya.
Sejujurnya
Aku cemburu melihat mereka,
Aku mahu hidup di dalam suasana mereka,
Aku mahukan kesedaran seperti mereka
Agar aku lebih dekat denganNya
Kekalkan Mujahadah InshaAllah Jannah ;)
Archer Pleasure Of God

Comments

Popular posts from this blog

Penawar Luka

Kerinduan Ummat

Hanya Sementara